Siri Softskills Murabbi (7):  Menilai Mutarabbi

Siri Softskills Murabbi (7): Menilai Mutarabbi

• Tidak terpisah sama sekali antara proses tarbiyah dengan proses taqwim. Setiap kali kemahiran anda meningkat di dalam proses taqwim, maka anda akan lebih teliti dalam menentukan keperibadian Mutarabbi dan apa-apa yang diperlukannya secara tepat.

• Pentingnya proses taqwim ini ibarat tapak asas bagi anda membina seluruh perancangan masa depan dengan Mutarabbi anda. Ketika anda salah dalam menentukan keperluan-keperluan Mutarabbi anda, maka itu bermakna anda akan menghabiskan usaha yang besar pada perkara-perkara yang sebenarnya tidak diperlukan oleh Mutarabbi anda atau mengambil masa yang sangat lama untuk memenuhinya.

• Saya menjangka anda bersetuju dengan saya bahawa jiwa itu ada naluri peribadinya sendiri. Dengan sebab itu dia mengasihi, membenci, menyukai dan melawan. Awas ! jangan sampai anda menjadikan kecenderungan-kecenderungan ini sebagai hukum untuk pandangan dan penilaian anda terhadap seseorang. Jika anda dari kalangan orang yang kuat emosi, berhati-hatilah dari membuat taqwim yang jauh daripada ijtihad peribadi yang dibuktikan oleh hakikat-hakikat pencapaian yang sebenar.

• Sesetengah Murabbi dipengaruhi oleh kecenderungan-kecenderungan dan keperihatinan yang khas dalam taqwim mereka. Dengan demikian mereka meraikan individu-individu yang serasi dari sudut kemampuan dan bakat dengan mereka. Ini adalah luncuran berbahaya serius yang mungkin menjatuhkan para Murabbi di dalamnya tanpa disedari.

• Berapa ramai para Murabbi yang tersilap apabila mereka membataskan kefahaman taqwim itu dengan ‘al-jarh wa an-Naqd’. Sebenarnya melakukan Taqwim terhadap Mutarabbi itu adalah dengan memberikan perhatian kepada aspek pengembangan yang benar sama seperti memberikan perhatian kepada membetulkan yang salah. Oleh kerana itu proses taqwim bukanlah satu proses yang kosong daripada at-ta’dil.

• Sebagai Murabbi anda mestilah memiliki pandangan yang tajam, jelas dan bebas terhadap Mutarabbi. Apabila anda mengambil bantuan pandangan dan pendapat orang lain tidak bererti anda terikat dengan pandangan dan penilaian mereka.

• Perlu diingat, bahawa anda bukan menilai sebuah patung yang kaku. Anda membuat penilaian terhadap seorang manusia yang dinamik dan sentiasa berubah. Hakikat ini menjadikan anda sentiasa menilai semula para Mutarabbi anda dari semasa ke semasa. Manusia sentiasa berubah, oleh kerana itu ‘mematikan’ penilaian pada satu nilai sahaja akan menzalimi mereka atau menzalimi anda sendiri.

• Saya mengharapkan anda tidak tergolong di kalangan mereka yang mengguna pakai formula (hitam atau putih) sahaja. Mereka yang menggunakan formula seperti ini di dalam melakukan taqwim tidak akan melihat kepada mereka yang ditaqwim kecuali betul-betul benar atau betul-betul salah. Perlu diingat bahawa jiwa manusia ini mengandungi garis-garis kehidupan yang saling bersilang antara satu sama lain. Murabbi yang pintar itu adalah yang mampu membezakan antara garis-garis kehidupan yang saling bersilang ini dengan teliti dan jelas.

Next Post:
Previous Post:
This article was written by

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *