PERLU DAKWAH FARDIAH

PERLU DAKWAH FARDIAH

Sebagaimana kita perlu menyebar dan menyampaikan dakwah kepada seramai mungkin masyarakat melalui pita rakaman, flyers, buku, artikel dan lain-lain, kita juga sangat perlu menyebarkan dakwah Islam ini menerusi dakwah fardiah. Dakwah Fardiah ini menjurus kepada individu; bercakap dengan hatinya sehingga tumbuh perasaan cintakan kebaikan dan kebenaran, sehingga menjadikan dia membawa Islam ke mana-mana dia pergi.

Menerusi Dakwah Fardiah ini, pandangan mata kita akan bertutur. . Ekspresi muka kita juga membawa banyak mesej, hanya dalam masa yang singkat kadangkala tanpa mengungkapkan walau pun satu patah perkataan !! Kadangkala perkataan yang ditulis mungkin berkesan . . . dan kadangkala ungkapan kejujuran yang didengar boleh menyentuh lantai hati . . . namun kesan yang besar adalah apa yang kita bicarakan secara ikhlas dan secara langsung dalam segala urusan. Kita bicarakan isu kebejatan sosial, pendidikan, dunia pekerjaan, psikologi dan seumpamanya!

Memang benar. . . Dakwah Fardiah tidak tersebar kepada ribuan orang sekaligus, tetapi di sisi lain, dakwah fardiah ini boleh berlaku sangat kerap, mudah dan meninggalkan kesan yang besar. Ramai sahabat Rasulullah s.a.w mengenali Islam menerusi Dakwah Fardiah. Mereka tetap thabat semasa menerima penyeksaan kerana hubungan peribadi Baginda s.a.w dengan mereka. Cuba kita renungi pesanan-pesanan abadi Baginda s.a.w kepada mereka : “Sabran Aala Yasser … sesungguhnya janji untuk kamu adalah syurga”. Bagaimana Dakwah Fardiah Baginda Nabi s.a.w ini merangkum kunci-kunci kepada hati-hati yang mendengar. Khabar gembira yang disampaikan itu adalah Syurga. Yang menyampaikan khabar gembira ini pula adalah Rasulullah s.a.w !! Berita gembira dengan janji syurga ini adalah sebagai peringatan kepada balasan terhadap kesabaran yang sangat indah dan sangat lazat… serta memandang kecil kehidupan di dunia. Seruan Baginda s.a.w dengan kalimah ” Aala Yasser ” adalah kalimah yang mengandung erti belas kasihan dan merasai penderitaan yang dialami oleh Yasser, Sumayyah dan anak lelaki mereka berdua, Ammar (Radhiallahu ‘Anhum). Inilah bentuk komunikasi pendakwah kepada orang di sekelilingnya. Keperihatinan pendakwah terhadap urusan kehidupan mereka meninggalkan kesan yang besar untuk mereka terpengaruh dengan dakwah dan bersimpati terhadap isu-isu dakwah.

Kita juga pernah melalui situasi-situasi yang sukar dalam kehidupan seperti kematian orang yang dikasihi, ditimpa kesakitan atau kesempitan jiwa. Pada masa itu kita sangat memerlukan kepada seseorang yang boleh mencurahkan kasih sayangnya kepada kita, menyampaikan rasa simpatinya kepada kita, merasa sensitif terhadap penderitaan yang kita alami. Kita memerlukan simpati bagi meringankan penderitaan yang sedang kita tanggung. Apabila kita dapati perasaan kasih sayang dan simpati ini pada pendakwah yang mengajak dan mendorong kita kepada kebaikan, maka kita pasti terpengaruh dengan akhlak yang hebat dan emosi yang ikhlas ini.

Bermurah hati dengan mengungkap perkataan-perkataan yang baik sepanjang masa adalah alamat kepada hidayah dan tanda kepada kejayaan dalam Dakwah Fardiah. Ini kerana jiwa manusia secara semula jadi cenderung untuk suka kepada pujian, dan apabila pujian ikhlas datang pada tempat yang sesuai dan pada kadar yang memadai, maka hati-hati ini akan menerima dengan baik, ruh-ruh akan bersinar dan minda akan turut terbuka.

Tenang dalam dialog dan memberi peluang untuk menyatakan pandangan adalah satu sebab untuk memahami cara berfikir dan penerimaan jiwa. Perhatikan di dalam kisah ‘Utbah Bin Rabi’ah ketika beliau ingin menyekat kejayaan Dakwah Islam setelah islamnya “Hamza Bin Abdul Muttalib” dan “Omar bin al-Khattab (Radhiallahu ‘Anhuma). Beliau menawarkan kepada Baginda Rasulullah s.a.w kekuasaan, harta benda dan lain-lain… maka Nabi Muhammad s.a.w, bersabda dengan ungkapannya yang masyhur: “Apakah telah selesai ungkapan mu wahai Abul Walid ?” Maka tidak ada apa pada Utbah selain terpaksa mendengar dengan seluruh pancainderanya; sehingga beliau kembali kepada para sahabatnya dengan muka yang berlainan sama sekali!

Menyebut nama. . . memanggil dengan panggilan yang paling disukai. . . sebenarnya adalah kunci kepada hati. . . kunci paling utama!

Lembut dalam bicara, memberi nasihat dengan cara-cara yang tidak langsung akan mendorong dengan kuat jiwa-jiwa kita kepada kebaikan. Dalam hal ini pengalaman adalah bukti yang terbaik.

Dakwah Fardiah mampu melahirkan hati yang kuat dan jiwa yang teguh pada kebaikan, sekalipun terdedah kepada berbagai fitnah.

Next Post:
Previous Post:
This article was written by

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *