PELAJAR DAN DAKWAH

Sekolah-sekolah kita hari ini hampir kosong daripada anak-anak muda yang soleh yang memikul bebanan dakwah dan memahami tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka, dan sekolah yang sepatutnya menjadi medan dakwah pertama kepada pelajar yang merasai bahawa dia sedang memikul tanggungjawab dakwah. Inilah yang akan menonjolkan kepentingan dakwah di sekolah.

Pelajar menghabiskan banyak dari waktunya yang mahal di sekolah. Jika pelajar tidak melaksanakan dakwah di medan ini, maka dimedan manakah lagi yang akan lebih efektif ? Bilangan pelajar yang ramai, boleh dikira sebagai beratus-ratus dalam satu sekolah atau satu kuliah. Maka apabila kita memberikan perhatian serius terhadap dakwah di sekolah-sekolah ini, bermakna kita akan berinteraksi dengan elemen masyarakat yang tersangat luas.
Kebanyakan aktiviti dakwah dikemukakan kepada mereka yang boleh menerimanya seperti ceramah, kelas dan seumpamanya. . . . Adapun amal di medan-medan ini bertujuan untuk menyampaikan dakwah kepada semua elemen masyarakat sekolah. Sektor pelajar ini adalah merupakan sektor yang paling subur dalam menyahut seruan dakwah dan paling mudah dipengaruhi. Oleh kerana itu natijah-natijah yang diharapkan daripada medan-medan ini adalah lebih baik dan lebih subur berbanding medan-medan yang lain.
Sektor pelajar adalah sektor yang paling penting dalam masyarakat, kerana pemuda adalah orang lebih bertenaga dan dinamik. Pemuda adalah pemimpin masyarakat pada masa akan datang, berbeza dengan orang tua dan lain-lainnya.

Pelajar adalah sektor masyarakat yang paling hampir dengan orang muda. Pelajar hidup bersama pemuda, bergaul dan tinggal bersama-sama mereka. Oleh kerana itu mendakwahi mereka adalah lebih aula berbanding sektor yang lain. Tanggungjawab terhadap mereka lebih kuat berbanding tanggungjawab terhadap orang lain. Seorang guru bertemu dengan pelajar-pelajar ini satu atau dua kali atau lebih dalam tempoh seminggu. Pelajar pula hidup bersama guru-guru ini bertahun-tahun lamanya dan berjumpa mereka setiap hari sekali atau lebih berbanding dari mereka berjumpa ibu bapa mereka.

Medan ini adalah medan yang mampu dilakukan oleh pelajar dengan baik. Banyak bidang dan aktiviti lain yang menuntut kemampuan dan potensi yang tinggi dan kadangkala tidak mampu pun untuk dibekalkan. Adapun dakwah dikalangan pelajar ini, rakan-rakan mereka adalah pada usia yang hampir sebaya, tahap pemikiran pun hampir sebaya dan tidak perlu pun kepada persiapan yang berlebihan.
Apa yang dikesalkan, apabila dapati sesetengah syabab yang sering bertanya tentang dakwah dan berbicara tentang dakwah, dia bergaul dengan syabab-syabab ini selama tiga tahun atau lebih, namun satu kalimah dakwah pun tidak keluar dari bibir mereka tentang dakwah.

Anda perlu mempunyai motivasi dan semangat yang boleh mendorong anda untuk memberikan ceramah, membeli buku, atau berinteraksi dengan isu umat Islam di Burma, Yugoslavia dan Somalia. Anda bertanya berita tentang mereka dan anda baca apa-apa yang berkaitan urusan mereka bahkan anda berderma membantu mereka. . . semangat ini kita tidak mahu hapuskan . . . bahkan kita mahu semangat ini dapat mendorong anda untuk berdakwah kepada pemuda yang anda temuinya setiap hari . . . bukankah orang ini yang lebih aula untuk anda dakwahi ???

QUDWAH DAN PERANANNYA DALAM DAKWAH

Qudwah yang soleh meninggalkan kesan kepada masyarakat tanpa perlu kita menggerakkan lidah kita untuk mendakwahi mereka. Orang muda yang memikul tanggungjawab dakwah ini seharusnya menjadi qudwah kepada rakan-rakannya dalam beribadah. Dia bersolat bersama rakan-rakan di sekolah. Rakan-rakan akan melihat bagaimana pemuda ini menjaga solat dan sangat mengambil berat amalan-amalan fardhu dan juga sunat. Pemuda ini juga perlu menjadi qudwah dalam berdisiplin dengan hukum-hukum syarak. Tidak nampak pada peribadinya sebarang pelanggaran atau secara terbuka melakukan maksiat. Seharusnya dia berakhlak dengan akhlak dan adab-adab umum. Tidak sewajarnya seorang pelajar yang soleh itu berdiri di bilik pentadbiran kerana dimuhasabah dan diberikan hukuman. Pelajar soleh ini menjadi qudwah dalam karakter dan keseimbangan sikap. Tidak wajar dia menjadi seorang yang gurauan dan gelak ketawanya seperti kebanyakan pelajar. Perlu juga menjadi qudwah dalam pencapaian akademik dan dalam komunikasi dengan guru-gurunya.
Betapa indahnya apabila kita dapati seorang guru bersukacita ketika melihat seorang pelajar yang istiqamah kerana dia faham betul bahawa fenomena ini akan melahirkan istiqamah pada tingkah laku dan melahirkan ketekunan dalam pelajaran. Alangkah indahnya ketika para pelajar bergembira dengan masuknya seorang pemuda yang istiqamah dalam kehidupan mereka kerana mereka tahu pemuda tersebut berbeza dengan pelajar-pelajar lain, peramah, lembut dan peramah. Jauh dari sifat suka bertengkar dan pencetus masalah. Bahkan pemuda ini membantu memenuhi hajat keperluan mereka serta sedia berkhidmat untuk mereka.

MATLAMAT AKTIVITI DAKWAH DI SEKOLAH

Dakwah di sekolah perlu dijadikan satu medan dan bidang yang lebih luas tanpa batas seperti yang dipersepsikan oleh sesetengah pelajar.
Kita boleh tentukan matlamat aktiviti dakwah di sekolah seperti berikut:

Pertama: Menambah bilangan mereka yang berintima’ dengan suara kebangkitan menerusi perhatian khusus kepada dakwah pemuda yang menjaga diri dan agama mereka. Kebanyakan keagamaan mereka terhad kepada diri sendiri secara fitrah. Mereka dijemput untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti dan program-program umum yang melayakkan mereka untuk menjadi sebahagian dari generasi kebangkitan dan juga pendokong Risalah Dakwah.

Kedua, melakukan perbaikan terhadap penyelewengan- penyelewengan yang berlaku dikalangan sebahagian pelajar. Majoriti mereka ini, sekalipun melakukan kesalahan dan penyelewengan, namun masih memiliki potensi yang sangat besar untuk kebaikan bahkan bersedia untuk mendengar nasihat.

Ketiga: Menyebarluaskan kebaikan dan menzahirkannya di kalangan umum pelajar. Sekalipun aktiviti-aktiviti tidak mempunyai kesan secara langsung kepada penerimaan pelajar, namun ia memberi kesan kepada agenda menghidupkan sensitiviti keislaman di kalangan para mad’u. Meninggalkan kesan dalam membetulkan banyak kefahaman-kefahaman yang salah, menyebarkan kebaikan dan meluaskan ilmu syarie.

Keempat: Mencegah kemungkaran umum. Ia adalah sebuah kewajipan syarie. Kemungkaran yang berleluasa dan dilakukan secara terang-terangan memberikan kesan dan pengaruh yang besar kepada pelajar-pelajar. Sebilangan besar mereka mempelajari berbagai bentuk dan ragam penyelewengan menerusi apa yang dilihatnya di sekolah. Keperihatinan pemuda-pemuda soleh dalam mencegah kemungkaran meninggalkan kesan kepada diri mereka sendiri dalam membenteng diri mereka dari terpengaruh kerana sebagai manusia tetap terdedah kepada kesan pengaruh walau bagaimana pun tinggi kesolehan dan ketaqwaan yang dimiliki.

Terdapat beberapa cara yang dimiliki oleh pemuda yang baik untuk mengingkari kejahatan ini, antaranya termasuklah nasihat peribadi kepada pelaku kejahatan. . . menegur di hadapan rakan-rakannya yang lain, terutamanya apabila ia mengisytiharkan kemungkaran itu secara terang-terangan . . . Antaranya juga ialah meminta pertolongan ustaz-ustaz yang sangat perihatin dan mengambil berat. . . berbagai cara yang seumpamanya.
Jika usaha-usaha ini digabungkan. . . . mereka yang perihatin terus berusaha mengingkari kemungkaran yang ada di hadapan mata mereka, sudah pasti sebahagian kemungkaran ini akan lenyap. Malah sebahagian besar pelajar terdinding daripada melakukan kemungkaran tersebut secara terbuka dan terang-terangan.
Terdapat beberapa perkara lain yang boleh membantu merealisasikan matlamat mengingkari kemungkaran, termasuk:

Pertama: Keperluan untuk memastikan berita-berita tentang penyelewengan adalah sahih. Tidak tergesa-gesa dan tidak terburu-buru.

Kedua: Mendapatkan pandangan rakan-rakan dan juga para ustaz tentang aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh pemuda. Mudanya pengalaman, memaksa beliau meminta bantuan daripada pengalaman orang-orang yang terdahulu.

Ketiga: Percaya diri dan tidak memperkecilkan kemampuan diri atau tidak merasa diri tidak boleh berjaya. Banyak tugas-tugas dakwah yang dikehendaki dari golongan muda ini tidak memerlukan terlalu banyak ilmu pengetahuan dan keupayaan untuk mempengaruhi yang tinggi kerana kebiasaannya pemuda ini hanya mendakwahi rakan-rakannya yang sebaya sahaja, bahkan kadangkala rakan-rakan ini memiliki kemampuan thaqafah, ilmu dan potensi lagi rendah berbanding pemuda soleh.

Keempat: Memiliki nafas panjang dan tidak mudah jemu dan bosan. Ini kerana natijah-natijah dari usaha-usaha dakwah ini tidak muncul dengan segera. Bahkan usaha dakwah seorang pemuda terhadap rakan-rakannya kadangkala tidak nampak kecuali setelah semua mereka menamatkan pengajian di sekolah tersebut dan semuanya terpisah-pisah dengan haluan hidup masing-masing. Kadangkala pendakwah sudah pun lupa. . . . namun mad’uu tidak pernah lupa.

Ini adalah beberapa pandangan dan cadangan yang mungkin tidak baru kepada saudara-saudara, tetapi peringatan dan usaha mengingatkan itu adalah bermanafaat untuk orang-orang yang beriman.

Next Post:
Previous Post:
This article was written by

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *