Pandangan Berbeza Hati Bersatu

Pandangan Berbeza Hati Bersatu

Berbeza dalam memahami sesuatu adalah perkara yang biasa berlaku. Allah menurunkan Al-Quran yang di dalamnya ada ayat-ayat muhkamat dan ada ayat-ayat mutasyabihat. Nas-nas Al-Quran diturunkan mengikut kaedah Bahasa Arab. Dalam Bahasa Arab ada terma hakikat, majaz, khas dan am. Allah Yang Maha Berkuasa mencipta manusia  dalam bermacam model dan tahap pemahamannya juga berbagai-bagai. Pakar-pakar neurologi menegaskan bahawa tidak ada dalam dunia ini dua bahagian otak kiri dan kanan yang sama. Oleh itu tidak pelik jika berlaku perbezaan dalam memahami dan mengerti sesuatu perkara. Begitu pula  latar belakang pendidikan  berbeza-beza antara satu rumah dengan rumah yang lain, dari satu suasana kepada satu suasana yang lain. Tidak hairan jika kita dapati si fulan cenderung kepada sikap memudahkan, manakala si fulan yang lain cenderung kepada sikap berkeras.

Sejarah kita juga mengenali  sikap memudahkan yang dimiliki oleh Ibnu Abbas dan sikap tegas Ibnu Umar. Ibnu Abbas tidak  mahu berasak-asak untuk menyentuh Hajarul Aswad agar tidak disakiti dan tidak menyakiti.  Manakala Ibnu Umar  berasak-asak sehingga berdarah kakinya. Katanya hatiku berhasrat besar untuk menyentuh hajarul aswad dan aku suka kalau hatiku bersama-sama mereka. Ibnu Abbas  suka mendukung dan memeluk bayi sambil berkata ini adalah haruman yang sangat indah baunya. Ibnu Umar tidak suka mendukung dan memeluk bayi khawatir terkena najisnya.

Dari sini kita dapati banyak keadaan yang boleh membawa kepada perbezaan dalam memahami sesuatu, antaranya tabiat nas-nas yang dikemukakan, tabiat bahasa dan tahap kemampuan memahami. Sekiranya berbeza pendapat itu sesuatu yang terkeji, kenapa para fuqaha’ dari kalangan sahabat berbeza pendapat? Begitu pula para murid selepas mereka dalam memahami nas-nas  dan juga dalam melakukan istinbat sesuatu hukum.

Sebenarnya dalam berbeza pendapat ada adab-adabnya. Saya ingatkan perkara ini kepada diri saya  sendiri, kepada sesiapa yang membaca tulisan ini dan juga sesiapa yang disampaikan mesej ini.  Bahawa berbeza pendapat tidak boleh membawa kepada melupai hak-hak menghormati orang tua, mendudukkan manusia pada tahapnya dan berlembut dengan para pemula. Kita dapati Imam Syafie berbeza pandangan dengan Imam Malik. Ditulis satu kitab dan dinamakan “Perbezaan Imam Malik dan Imam Shafie”. Dalam masa yang sama beliau berkata: Apabila disebut ulama, maka Malik adalah bintangnya.

Abdullah bin al-Mubarak berbeza pendapat dengan ijtihad-ijtihad Abu Hanifah, tetapi apabila beliau mendengar seorang lelaki merendahkan Abu Hanifah, beliau menegur:

Wahai pendaki bukit yang tinggi untuk memperbaikinya,
Perbaikilah kepalamu, bukan perbaiki bukit itu

Imam Ahmad belajar dari Syeikhnya Imam Shafie sangat banyak ilmu dan adab tetapi beliau berbeza pendapat dengan Imam Shafie dalam banyak ijtihadnya. Imam Ahmad juga berkata: Demi Allah, Aku tidak tidur malam selama tiga puluh tahun kecuali aku berdoa untuk Imam Shafie. Anakandanya bertanya: Saya mendengar ayahanda sangat banyak berdoa kepadanya, siapakah Shafie itu? Jawab Imam Ahmad: Wahai anakku, beliau adalah ibarat matahari kepada bumi dan penyembuh kepada manusia.  Imam Shafie pula mengetahui tahap muridnya, beliau berkata: aku telah meninggalkan Baghdad. Aku tidak tinggalkan di Baghdad itu seorang yang lebih warak, lebih alim dan lebih mendapat petunjuk berbanding Ahmad bin Hanbal. Kata Imam Shafie;

“Mereka berkata Ahmad menziarahimu dan engkau menziarahi dia, 

aku berkata: kemuliaan-kemuliaan itu tidak terpisah dari statusnya.

Jika dia menziarahiku, maka itu adalah dengan kelebihannya.

Atau Aku menziarahinya, maka itu adalah kerana kelebihannya.

Maka kelebihan pada kedua-dua keadaan itu adalah untuknya”.

Pernah Imam Ahmad berbicara tentang Ma’ruf al-kurkhi, tiba-tiba salah seorang dari kalangan mereka mengaibkan makruf dengan kurang ilmu. Lalu Imam Ahmad berkata:  Mengapa dengan Engkau ni! Apakah yang dikehendaki dari ilmu itu selain apa yang dicapai oleh Makruf? Bersama Makruf itu ada kepala ilmu, iaitu takut kepada Allah.

Inilah adab-adab mereka di dalam perbezaan pandangan.  Maka apakah ia merupakan hikayat-hikayat yang diceritakan dan dipalu untuk didengari dan dihiasi majlis-majlis kita. Ataukah ia merupakan satu manhaj dalam perbezaan pandangan?  Mereka semua memahami maksud daripada nas-nas dan mereka mampu menghayati dan melaksanakannya. Hendaklah kita mengikuti jejak langkah mereka  kalaupun tidak sama seperti mereka supaya kita tidak menjadi dari kalangan orang yang pandai bercakap tetapi sangat buruk dalam amalan. Alangkah indahnya jika kita mampu menghidupkan nilai-nilai ini dan kita mengajar anak-anak kita adab berdialog dan berbeza pandangan, mengajar mereka mengenalpasti kebenaran maklumat, akhbar, beriltizam dengan akhlak dalam mengkritik, jauh dari pengaruh hawa nafsu agar mereka mampu mengkritik kesalahan dan  memperbetulkannya dalam batas-batas disiplin dan akhlak. Angkatlah slogan PANDANGAN KITA BERBEZA, HATI KITA BERSATU

Next Post:
Previous Post:
This article was written by

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *