Muslim Yang Hilang Identiti

Muslim Yang Hilang Identiti

Hai orang-orang yang beriman, ruku’lah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan. Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia adalah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik- baik Penolong. (Al-Hajj: 77-78)

Kereta paling mahal sekalipun akan hilang nilainya tatkala ia hanya terbiar di pinggir jalan lalu rosak berkarat. Tatkala itu, bukan salah jenamanya, bukan salah kilang yang mengeluarkannya, tetapi salah kerana kereta itu tidak berfungsi dengan peranannya yang sebenar.

Jika kita boleh faham itu, maka kita juga perlu faham bahawa sekalipun kita berpegang pada satu-satunya agama yang diterima di sisi Allah, kita akan hilang nilainya ketika kita tidak berfungsi dengan peranan kita yang sebenar.

Benar sabda nabi, umat Islam di akhir zaman itu ramai, namun bagai buih-buih di lautan. Kita hidup dengan ‘jenama’ Islam yang tidak kita fahami nilainya. Akhirnya, Islam hanya tinggal pada nama di kad pengenalan, pada binaan-binaan masjid yang gah, pada budaya zahir yang nampak islami dan pada budi pekerti asasi yang tanpa Islampun boleh dipelajari. Emosi dan pemikiran kita hanyut dalam kecelaruan dunia. Aqidah tak tentu hala. Kesyirikan merata-rata. Khurafat tak kenal usia, sejak lahir seorang bayi sampai meninggal dunia. Kefahaman agama tidak lagi menjadi ciri khas Muslim, digambarkan pula dengan aktivitinya yang ternyata menyimpang.

Akhirnya, Muslim terlibat dalam pertarungan mengejar dunia dan lupa akan peranan utama di dunia. Seumur hidupnya habis dengan memperjuangkan materialistic, popularistic, ideologi-ideologi penjajah dan sebagainya yang memakan segenap potensi dirinya.

Seorang pramugari boleh tersenyum kepada penumpang pesawat kerana etika kerja, seorang budak boleh berjalan tunduk di hadapan orang tua sebagai tanda hormat kerana keterbiasaan adat dan budaya. Namun, Rasulullah diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Meletakkan akhlak pada dasarnya yang lebih tepat, sebagai Ibadah. Hanya kerana mematuhi perintah Allah. Bukan sekadar praktik asasi. Maka kita bukan hanya ingin menjadi pengamal basic morality, tetapi Islamic morality.

Muslim itu bererti tunduk kepada pencipta, Allah Yang Maha Esa. Menyerahkan segala urusan untuk diatur sesuai dengan ketentuan dan kehendak-Nya. Ketundukan kita hari ini semakin tidak jelas dan berubah-ubah. Kita marah apabila dicabut gelaran Muslim daripada diri, tapi dengan seenaknya melanggar batas-batas yang diletakkan Allah dan Rasul. Ketundukan kepada Allah dan Rasul telah beralih kepada ketundukan kepada makhluk, kepada sistem yang diciptakan makhluk.

Tidak ada yang boleh menafikan bahawa gejala sosial yang melibatkan para pemuda Islam di Malaysia sahaja sangat meruncing dan meluas. Pemuda-pemudi Islam diketahui keruntuhan akhlaknya. Seks bebas menjadi makanan yang sebati. Surau-surau dan masjid-masjid belum betul-betul optimum dan dipenuhi para pemuda-pemudi. Shopping complex menjadi pusat pertemuan untuk merencanakan pelbagai aktiviti kelalaian yang lebih menjauhkan daripada keaslian peribadi. Sekali pandang, kita tahu bahawa pemuda-pemudi ini adalah Islam. Namun, kali kedua melihat, kita tertanya-tanya, di manakah Islamnya?

Apakah salah pendidikan sejak kecil yang meletakkan di tepi risalah Islam dan menerapkan pendidikan keduniaan kepada kita, sehingga kita merasa sepi daripada kecintaan yang teguh kepada agama? Jika adapun sentuhan agama, lebih bersifat yang dilihat secara zahir. Boleh membaca Al-Quran, menghafal doa qunut, boleh solat, boleh menjawab peperiksaan pendidikan agama dengan cemerlang.

Suasana keIslaman itu semakin pudar, jika bukan keseluruhan dalam masyarakat pun, boleh dilihat dalam suasana dalam keluarga-keluarga Islam. Berapa ramai ibubapa yang begitu risau melihat anaknya ke hulu ke hilir mencari kerja tak dapat-dapat, berbanding sangat risau anak-anaknya berpeleseran lelaki dan perempuan, mengabaikan solat lima waktu, jauh daripada Al-Quran?

Penulisan ini adalah sebuah muhasabah bagi setiap individu yang bergelar Muslim, adakah kita benar-benar faham dan menghayati erti kita menjadi seorang Muslim? Jika sekadar berjaya dalam perniagaan, akademik, jawatan, itu tidak perlu kita menjadi Muslim pun masih boleh kita raih. Namun, sejauhmana komitmen kita dengan Islam? Sejauhmana kita benar-benar cintakan Islam dan komited dalam menerapkannya dalam kehidupan?

Ayuh kita kembalikan identiti Islam dalam diri kita. Hiduplah berlandaskan wahyu. Berakhlaklah dengan akhlak Islam. Jika merasakan apa yang ditulis ini tidak bertepatan dengan ciri pembaca secara peribadi, maaf. Bukalah mata dan lihatlah sekeliling. Tidak cukup kita Muslim seorang diri.

Sesungguhnya akhlak Islam itu harus dibina dan pembinaannya memerlukan keseriusan yang dahsyat. Mulakan dengan diri kita terlebih dahulu. Baiki segenap aspek-aspek yang masih lompang. Tarbiyah diri sendiri adalah sebuah kemestian yang tidak boleh ditinggalkan. Tak mungkin sebuah cerek kosong dapat menuangkan air ke dalam cawan-cawan. Tak mungkin akhlak akan diwarisi oleh generasi pengganti jika akhlak tersebut tidak sebati dalam diri kita sendiri. Tarbiyah, adalah sebuah kemestian.

Lihatlah persekitaran dan tebarkanlah pandangan yang penuh kasih sayang pada sebuah umat yang semakin tidak jelas identitinya. Umat Islam yang kita adalah salah seorang daripadanya. Ajaklah sesiapa sahaja orang terdekat yang kita mampu untuk sama-sama berfikir dengan permasalahan yang serius ini, seterusnya bersama-sama dalam usaha mengembalikan identiti Muslim yang sejati. Sesungguhnya jika Allah memberi hidayah kepada seorang manusia melaluimu, itu lebih baik daripada dunia dan seisinya. Demikian pesan Rasul. Dakwah, juga adalah sebuah kemestian dalam membina kekuatan.

Sudah lama kita menjadi pemerhati yang setia dan pengulas yang bertenaga. Sudah lama kita menjadi tukang bincang permasalahan. Ayuh kita berangkat daripada dunia perbincangan kepada dunia amal yang nyata. Lahirkan identiti diri setiap kita sebagai individu, dan ajaklah orang lain bersama-sama ke arahnya.

Tak guna kita berbangga-bangga dengan nama organisasi, jema’ah-jema’ah dan tokoh-tokoh yang kita kenali. Buka hati, buka mata, buka ruang amal seluas-luasnya. Letakkanlah Islam sebagai yang tertinggi di hati dan amalkanlah sebaiknya dalam kehidupan, nescaya kita menjadi tinggi kerana berpegang kepada agama Allah yang tertinggi. Sungguh tepat kata-kata Umar Al-Khattab RA, kita adalah suatu kaum yang dimuliakan oleh Allah kerana Islam, bukan kerana yang lain.

Ayuh, bergerak mencari identiti!

Previous Post:
This article was written by

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *