KEMAHIRAN MENGUMPUL DAN MEMENANGI HATI

KEMAHIRAN MENGUMPUL DAN MEMENANGI HATI

Para Daie yang bermuamalah dengan masyarakat mestilah menguasai seni mengumpul dan memenangi hati masyarakat disekelilingnya. Terutamanya para daie yang bergelumang dalam medan tarbiyah. Menjadi haknya untuk mempertingkatkan seni memenangi hati-hati manusia dan menjadi suatu yang dharuri sehinggalah dia mampu memimpin manusia dan mentaujihkan ke arah objektif yang dikehendakkinya.

Di sini ada beberapa nasihat yang boleh membantu usaha mengumpul dan memenangi hati di sekeliling para daie:-

Mengikhlaskan Niat dan hubungan yang baik dengan Allah

Wasilah pertama yang boleh membantu para daie mengumpul dan menawan hati para mad’uu mereka ialah keikhlasan niat kerana Allah s.w.t. Bersih dari segala bentuk kecelaruan dan baik hubungannya dengan Allah s.w.t.

Rasulullah s.a.w telah bersabda:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم ((إن الله تعالى إذا أحب عبدا دعا جبريل فقال إني أحب فلانا فأحبه فيحبه جبريل ثم ينادي في السماء فيقول إن الله تعالى يحب فلانا فأحبوه فيحبه أهل السماء ثم يوضع له القبول في الأرض وإذا أبغض عبدا دعاجبريل فيقول إني أبغض فلانا فأبغضه فيبغضه جبريل ثم ينادي في أهل السماء إن الله يبغض فلانا فأبغضوه فيبغضونه ثم يوضع له البغضاء في الأرض))رواه مسلم

Ertinya: Sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya Allah s.w.t apabila mengasihi seseorang hamba, Allah memanggil Jibril lalu berkata kepada Jibril “Sesungguhnya Aku mengasihi si polan, maka kasihilah Dia Lalu Jibril mengasihinya kemudian Jibril menyeru kepada penduduk langit “Sesungguhnya Allah mengasihi si polan, maka hendaklah kalian mengasihinya. Maka seluruh penduduk langit mengasihinya kemudian ditentukan penerimaan terhadapnya di bumi. Apabila Allah s.w.t memurkai seseorang hamba, maka Allah memanggil Jibril dan berkata: Sesungguhnya Aku memurkai si polan, maka murkailah dia. Maka Jibril memurkainya kemudian Jibril menyeru penduduk langit: Sesungguhnya Allah memurkai si polan, maka hendaklah kalian murka terhadapnya, maka seluruh penduduk langit memurkainya. Kemudian diletakkan kemurkaan itu di bumi”.

Kasih sayang Allah terhadap hamba akan diikuti oleh kasih sayang manusia terhadap hamba tersebut. Berterusan melaksanakan amalan fardhu seterusnya amalan nawafil merupakan jalan yang boleh menghubungkan kepada kasih sayang Allah. Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda bahawa Allah s.w.t telah berfirman:

من عادي لي وليا فقد آذنته بالحرب ، وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه ، و لايزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه ، فإذا أحببته كنت سمعه الذي سمع به و بصره الذي يبصر به ، و يده التي يبطش بها ورجله التي يمشي بها و لئن سألني لأعطينه ، ولئن استعاذني لأعيذنه -رواه البخاري .

Ertinya: Sesiapa yang memusuhi bagiku seorang wali, maka Aku isytiharkan terhadapnya perang. Tidak ada seorang hamba yang menghampirkan diri kepadaKu dengan sesuatu yang paling Aku kasih berbanding apa yang telah Aku fardhukan kepadanya. Berterusan hambaku mendekatiKu dengan amalan-amalan nawafil sehingga Aku mengasihinya. Apabila Aku telah mengasihinya, maka Akulah pendengarannya yang digunakan untuk mendengar, pandangannya yang digunakan untuk memandang, dan tangannya yang digunakan untuk menggenggam dengan kuat dan dengan kakinya yang digunakan untuk berjalan. Jika dia meminta kepadaku pasti Aku memberikan kepadanya. Jika dia memohon perlindungan pasti Aku akan melindunginya. HR Bukhari.

Mempertingkatkan Kemahiran Mendengar: Jadilah pendengar yang baik pasti anda menjadi pembicara yang baik.

Akhi pendakwah mestilah menjadi pendengar yang baik kepada saudara-saudaranya yang lain ketika mereka berbicara. Tingkah laku ini memberi gambaran bahawa dia sedang diberikan perhatian sehingga tenang hatinya. Yang kami maksudkan disini adalah mendengar yang sebenar yang disertai dengan berfikir dan menyusun apa yang diungkapkan oleh pembicara. Tidak menjadi orang yang suka memotong ungkapan orang yang sedang berbicara. Jika keadaan ini berlaku, ia memberi gambaran kepada pembicara mungkin percakapannya itu berjela, atau pihak pendengar telah merasa jemu, atau pembicaraannya tidak disukai. Semua keadaan ini boleh menyebabkan rasa jauh diri di antara akhi pendakwah dengan ssaudara-saudaranya yang lain.

“Diam untuk mendengar” itu sangat penting untuk memahami percakapan seseorang. Ini boleh membantu kita membina komunikasi yang efektif sehingga melahirkan keterbukaan,rasa ketenangan dan penerimaan. Sayugia pihak pendengar membiarkan pembicara itu bercakap sehingga selesai terutamanya jika pembicara itu seorang yang sedang menghadapi masalah. Adalah lebih baik sebelum membalas ucapan pembicara itu, ditunggu beberapa minit. Ini memberi gambaran kepada orang yang sedang menghadapi masalah tersebut bahawa pihak yang mendengar sedang berfikir dengan mendalam sebelum memberikan jawapan kepada permasalahan yang sedang dihadapinya.
Keistimewaan Mendengar secara Itensif:
• Menjauhkan anda dari pelbagai permasalahan
• Menceritakan kepada anda apa yang sedang berlaku sekeliling anda
• Menjadikan anda lebih mantap
• Memberikan anda peluang berfikir
• Menambah kekuatan anda
• Membantu anda menembusi diri orang lain
• Mendapat penghormatan
• Dapat menyerap kemarahan orang lain
• Memantapkan kedudukan anda pada pandangan orang lain
• Meraih kasih sayang orang lain

Senyuman Memukau:- (Orang yang tidak pandai Senyum tidak sayugia membuka kedai) pepatah orang Cina.

Senyuman yang murni dan jujur adalah tanda cinta dan kasih sayang di antara ikhwah. Banyak hati-hati yang dimiliki oleh pendakwah adalah dengan senyuman yang diutuskan kepada mereka sebelum dia bercakap walaupun satu kalimah. Senyuman itu menghilangkan banyak halangan. Manakala muka yang masam selalunya membina dan mengukuhkan jurang dengan saudara-saudaranya.

Senyuman tidak mentaklifkan apa-apa pun sedang ia kekal sepanjang hidup.

Kita perlukan senyuman yang menunjukkan hati itu melimpah dengan cinta dan kasih sayang terhadap orang lain, sehingga membentuk pusat yang menarik hati-hati di sekelilingnya.

عن جرير بن عبد الله قال:
ما حجبني رسول الله صلى الله عليه وسلم منذ أسلمت، ولا رآني إلا تبسم في وجهي. أخرجه البخاري.

Daripada Jarir bin Abdullah, berkata: Rasulullah s.a.w tidak pernah memisahkan aku dan Baginda tidak melihat aku melainkan dalam keadaan senyum kepadaku. HR Bukhari

وعن أبي هريرة- رضي الله عنه- قال: قال رسول الله- صلى اللهعليه وسلم-: “إنكم لا تسعون الناس بأموالكم، ولكن ليَسَعْهم منكم بسط الوجه وحسن الخلق”.و الناس تميل بفطرتها لصاحب الوجه البشوش و تنفر دائما من صاحب الوجه العابس المتجهم

Ertinya : Daripada Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w telah bersabda: Kalian tidak mampu memberikan kepada manusia hartabenda kalian, tetapi berikanlah kepada mereka muka yang manis dan akhlak yang mulia”. Manusia secara fitrahnya cenderung kepada orang yang bermuka manis dan menjauh diri dari orang yang bermuka masam dan bengis.

Pepatah Cina mengatakan: (Orang yang tidak pandai Senyum tidak sayugia membuka kedai).
Kata Pengurus sebuah Kilang batu di Amerika yang mendapat keuntungan sejuta dollar setahun. “Senyumanku telah membuat keuntungan satu juta dollar”.

Saudaraku Para Daie.. Berlatihlah dan berusahalah untuk senyum, ketahuilah bahawa senyumanmu kepada saudaramu itu adalah sedekah. Senyuman adalah kunci luarbiasa kepada pintu-pintu hati.

Hadiah dan Ziarah:- (Hendaklah kalian Saling menghulur hadiah nescaya kalian saling berkasih sayang)

Sifat hadiah selalunya menambah cinta dan kasih sayang di antara ikhwah dan menghilangkan permusuhan dan hasad dengki. Hadiah adalah diantara kunci terpenting kepada hati. Sabda Rasulullah s.a.w:

(تهادوا تحابُّوا) رواه البخاري
Ertinya: Hendaklah kalian Saling menghulur hadiah nescaya kalian saling berkasih sayang. HR Bukhari

Kepentingan hadiah itu tumbuh daripada makna yang dimiliki, bukan pada nilai materialnya.
Ziarah juga dapat menambah kasih sayang di antara ikhwah pendakwah dengan saudara-saudaranya. Dengan ziarah ini, ikhwah merasai bahawa dia mendapat perhatian saudaranya sehingga diziarahi secara khusus dan meneliti hal keadaannya. Berapa banyak ziarah dua hala telah menghapuskan perkara yang patut dihilangkan. Seorang akh hendaklah memilih waktu-waktu yang munasabah untuk menziarahi saudaranya sehingga tidak menyebabkan ketidakselesaan kepada saudaranya. Menghilangkan antara akhi pendakwah dengan para ikhwahnya sebarang kekeruhan dan ketegangan dalam hubungan yang dilihat sukar oleh sesetengah pihak.

Kata Fadl bin Sahl: Tidak ada yang boleh meredakan kemarahan, menarik simpati penguasa, menolak hasad dengki, menolak hutang, kecenderungan orang yang dikasihi dan menjaga yang terlarang sebagaimana yang mampu dilakukan oleh hadiah.
Hadiah tersebut mestilah munasabah dengan orang yang dihadiahkan. Hadiah kecil berbeza dengan besar. Hadiah untuk lelaki berbeza dengan hadiah untuk perempuan. Hadiah orang kaya tidak sama dengan hadiah orang miskin. Hadiah untuk orang alim juga tidak sama dengan hadiah untuk orang jahil.

Lembut ketika marah:- Jangan menutup pintu dihadapan pesalah

Kadangkala sesetengah pendakwah tergelincir ke dalam kesilapan yang serius apabila memarahi seorang akhi yang bersalah dalam bentuk yang sangat pedas dan tajam. Kadangkala dilemparkan kemarahan itu dihadapan rakan-rakannya, mengutuk mereka dengan kutukan yang sangat tajam, sangat pahit tanpa memberikan sebarang keuzuran atau kemaafan kepada akhi yang bersalah itu. Para pendakwah ini beranggapan dengan tingkah laku seperti itu bertujuan untuk mereka menjaga diri akhi itu sendiri dan mereka menyeru menjaga perjalanan amal dakwah dalam bentuk tersusun dan baik tanpa apa-apa kekurangan. Walaupun nampak banyak yang benar dari sudut pandangan mereka, tetapi menutup pintu kepada seorang akhi yang bersalah itu akan menyebabkan akan berlaku pelarian dari jalan dakwah dan para mad’u juga merasa sangat tidak senang. Sepatutnya ketika memperincikan sudut-sudut kecuaian yang berlaku, hendaklah juga diperincikan hal keadaan akhi tersebut dan menenangkannya. Melahirkan rasa tenang terhadapnya dan terhadap keadaannya itu adalah lebih aula daripada mengetahui sebab-sebab kecuaian.

Sering berlaku ketidakmatangan dalam hubungan di antara ikhwah pendakwah dengan ikhwah yang lebih junior sehingga kadangkala kita melihat beberapa orang menuntut mas’ul tarbiyah ditukar atau dipindahkan ke kerja-kerja yang lain untuk mengelakkan pertembungan dengan ikhwah mas’ul tersebut yang sering melakukan mutabaah dengan ungkapan-ungkapan kejian dan celaan yang tajam.

“Jauhi dari menggunakan uslub mencabar kerana menawan hati-hati itu jauh lebih penting berbanding menawan sikap dan situasi”.
“Seringkali kita mampu memenangi sikap dan situasi tetapi kita kerugian hati”.

ماكان الرفق في شيئ الا زانه وما نزع من شيئ الا شانه

“Tidak ada kelembutan pada sesuatu kecuali ada timbangannya, dan tidak ada kelembutan yang dicabut dari sesuatu kecuali ada aibnya”.

(فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنْ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ لانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ).

Ertinya:159. maka Dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan Yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah Dengan mereka Dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila Engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertawakal kepadaNya.

Next Post:
Previous Post:
This article was written by

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *