Fahami Wahyu, Fahami Kehidupan

Fahami Wahyu, Fahami Kehidupan

Fungsi Wahyu Dalam memimpin kehidupan

Melalui wahyu, Allah telah memimpin Nabi Ibrahim AS keluar daripada tradisi penyembahan berhala kaumnya, menuju kepada kehidupan yang berlandaskan tauhid. Demikian juga Jibril datang membawa wahyu daripada Allah kepada Muhammad SAW, “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan…”. Sejak itu, kehidupan manusia lebih terpimpin, menuju kepada tujuan sebenar hidup.

Tanpa bimbingan wahyu, manusia pasti sesat.

Hanya dengan mengikut bimbingan wahyu Ilahi, kita akan bebas daripada kesesatan yang nyata kerana ia daripada pencipta kehidupan, menceritakan tentang fungsi kehidupan.

Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.(Al-Jumu’ah 62:2)

Islam bukan agama yang diciptakan oleh akal manusia, ia adalah sebuah agama yang diwahyukan untuk panutan umat manusia keseluruhannya. Manusia yang celik akal dan hatinya akan dapat menerima pengajaran Islam kerana ia adalah bimbingan wahyu yang benar.

Tahun 2000-2010 merupakan dekad paling ramai manusia memeluk Islam (lebih tepat kembali kepada Islam) (menurut Sheikh Ismail Musa Menk, Mufti Zimbabwe). Mereka yang kembali kepada Islam adalah mereka yang kembali kepada kebenaran dan tujuan sebenar hidup.

Bimbingan wahyu adalah sebuah anugerah yang tiada tolok bandingannya untuk umat manusia.

Sedekat mana kita dan wahyu?

Al-Quran adalah wahyu yang tidak ada keraguan padanya, menyempurnakan segala wahyu sebelumnya. Demikian juga Hadith Rasulullah SAW juga merupakan bimbingan wahyu, sebagaimana firman Allah;

Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (An-Najm, 53:3)

Sedekat manakah interaksi kita dengan wahyu agung ini? Kita menghabiskan begitu banyak masa untuk menelaah bahan bacaan akademik sejak kita mula masuk ke bangku sekolah. Buku tebal-tebal tentang engineering, medicine, architecture, law dan sebagainya habis kita kaji.

Namun, kita begitu sibuk sehingga tak sempatpun mendalami sebuah buku ini yang paling utama, Al-Quran.

Masa kita begitu terhad sehingga tak sempatpun menelaah hadith-hadith nabi (paling tidak Hadith 40 Imam Nawawi).

Ah, dekatkah kita dengan wahyu?

Semakin jauh kita daripada wahyu, semakin jauh kita daripada memahami hakikat kehidupan.

Mungkin kita merasai yang kita begitu faham dengan tujuan kehidupan dan peranan kita dalam mengisinya. Namun, sejauh manakah kefahaman kita selari dengan wahyu, atau hanya selari dengan pemikiran-pemikiran manusia?

Banyak buku-buku motivasi kita beli, tokoh-tokoh psikologi yang kita kagumi. Kita merasakan yang kehidupan kita banyak berubah sejak membaca pemikiran-pemikiran mereka dan beramal dengan nasihat-nasihat mereka.
Salahkah?

Tidak, selagi ia selari dengan wahyu.

Namun, apakah rujukan utama kita? Adakah kita menjadikan wahyu sebagai tempelan kepada pemikiran manusia atau kita menilai pemikiran manusia dengan meletakkan wahyu sebagai landasan?

Kita harus mula bertukar daripada pengkagum teori-teori motivasi dan peningkatan diri yang dicanangkan manusia, kepada pengikut setia bimbingan wahyu.

Wahyu adalah lengkap

Hakikatnya, ketika manusia merasakan yang mereka menemui sebuah teori yang begitu bermanfaat untuk manusia, wahyu telah terlebih dahulu memberitahu.

Agama ini telah sempurna. Bimbingan wahyu tidak ada yang kurang. Jika kita merasakan yang masih ada urusan hidup yang tidak dibimbing oleh wahyu, bererti kita sedang mencanangkan bahawa “ada agama yang lebih baik dan lebih sempurna daripada Islam” atau “Rasulullah belum menjadi contoh teladan yang terbaik”.

Ketika itu, berimankah kita dengan sebenarnya?

Berpegang teguhlah dengan wahyu

Berpegang teguh dengan wahyu memerlukan mujahadah yang tinggi, kerana ia merupakan perkataan yang berat:

Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya). (Al-Muzzammil, 73:5)

Waraqah Bin Naufal menyampaikan kepada Rasulullah bahawa baginda pasti diusir oleh kaumnya dengan apa yang akan dibawa oleh baginda SAW. Nabi Ibrahim dibakar oleh kaumnya kerana wahyu yang dibawa baginda. Demikian para nabi yang menerima wahyu semuanya dihadapkan dengan tribulasi yang begitu dahsyat.

Tribulasi hasil daripada berpegang teguh dengan wahyu tidak boleh dihadapi dengan cara meninggalkan wahyu, kerana impak meninggalkan wahyu lebih dahsyat. Tidaklah tribulasi yang didatangkan oleh manusia itu lebih buruk dan lebih dahsyat daripada azab yang diancamkan oleh Allah buat mereka yang meninggalkan petunjuk-Nya.

“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”. (Taha, 20:124)

Mulakan Sekarang

Marilah kita mula serius dan bersungguh-sungguh dalam memahami wahyu, agar kita semakin dekat dalam memahami tujuan hidup dan peranan manusia.

Ada beberapa perkara yang boleh kita usahakan;

  • Membaca Al-Quran dan Hadith dengan teliti beserta terjemahannya
  • Sering merujuk kitab-kitab tafsir dan huraian hadith
  • Memperuntukkan waktu khusus untuk mendalami Al-Quran dan Hadith
  • Meninggalkan perkara-perkara tidak penting dan menggantikan dengan menelaah Al-Quran dan Hadith
  • Belajar bahasa Arab yang merupakan bahasa wahyu disampaikan
  • Menyertai halaqah-halaqah ilmu yang mendalami Al-Quran dan Hadith
  • Menukarkan status facebook daripada perasaan peribadi kepada berkongsi ayat Al-Quran dan Hadith
  • Mengisi rak-rak buku di rumah dengan kitab-kitab tafsir dan huraian hadith
  • Meletakkan kefahaman wahyu anak-anak lebih utama daripada pencapaian akademik mereka
  • Ikhlas kerana Allah
  • Fokuskan kepada mendalami Al-Quran dan Hadith, seterusnya menilai segala aspek kehidupan berlandaskannya.

Hidup sebagai seorang Muslim bererti hidup dengan penuh penghayatan kepada bimbingan wahyu.

Ayuh fahami wahyu, dan fahami kehidupan.

Next Post:
Previous Post:
This article was written by

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *