BERSEDERHANALAH….

BERSEDERHANALAH….

PINTU KEHIDUPAN AKAN TERBUKA

Adil adalah tuntutan akal dan juga tuntutan syarak. Tidak melampau dan tidak kontang. Tidak berlebihan dan tidak kedekut. Sesiapa inginkan kebahagiaan, mesti disiplinkan perasaan dan kehendaknya. Hendaklah berlaku adil sewaktu suka dan sewaktu marah, sewaktu gembira dan sewaktu sedih.  Ini penting kerana sikap berlebihan dalam berkomunikasi dengan berbagai peristiwa adalah kezaliman kepada diri sendiri.

Alangkah indahnya bersederhana.  Syarak juga diturunkan dengan imbangan sederhana. Kehidupan terbina atas kesederhanaan. Orang paling penat ialah mereka yang menurut nafsunya dan menyerah kepada perasaan dan  kecenderungan dirinya. .. ketika itu segala peristiwa menjadi besar baginya dan dimensi hidupnya menjadi gelap. Dalam hatinya tercetus pertempuran sengit antara perasaan dengki, perasaan pelik dan stress kerana dia hidup di alam khayal dan sangka-sangkaan.  Kadangkala seseorang boleh sampai tahap merasakan semua orang menentang, hasad dan dengki terhadap dirinya.  Semua orang berpakat menghancurkannya.  Muncul perasaan-perasaan waswas bahawa seluruh dunia memerhatikan dirinya. Oleh itu dia cuba hidup dalam suasana yang dipenuhi perasaan takut, sedih dan kerisauan.

Keresahan hidup itu tidak dibenarkan oleh syarak tapi ia mudah berlaku kepada manusia yang kehilangan nilai-nilai dan prinsip ketuhanan sehingga al-Quran menyifatkan mereka di dalam al-Quran: “يحسبون كل صيحةٍ عليهم“… ertinya: mereka mengira semua suara teriakan itu ditujukan kepada diri mereka. (surah al-Munafiqun:4)

Dudukkan hati anda di atas singgahsananya tersendiri kerana banyak perkara yang ditakuti itu tidak pun berlaku.  Bagi diri anda hendaklah menjangka kebarangkalian yang terburuk sebelum ianya berlaku dan bersedialah menerima yang terburuk itu. Ketika itu anda akan selamat dari telahan-telahan buruk yang boleh merobekkan hati dan perasaan anda sebelum ianya berlaku.

Saudaraku yang pintar dan sedar akan dirinya, berikanlah hak sesuatu itu mengikut ukurannya. Jangan sesekali perbesarkan peristiwa, pendirian dan isu yang berlaku. Bersederhanalah dan bersikaplah dengan adil. Usah berlalu dan berlari pergi sambil mendokong khayalan-khayalan palsu serta fatamorgana yang memperdayakan.  Cubalah teliti timbangan kasih sayang dan kemarahan yang diutarakan oleh hadith Rasulullah s.a.w:

“أحبب حبيبك هونًا ما فعسى أن يكون بغيضك يومًا ما، وأبغض بغيضك هونًا ما فعسى أن يكون حبيبك يومًا ما”،

Ertinya: “ Kasihlah kekasihmu secara sederhana kerana boleh jadi suatu hari engkau membencinya. Bencilah sesuatu yang engkau benci itu secara sederhana kerana boleh jadi suatu hari engkau mengasihinya”.

عسى الله أن يجعل بينكم وبين الذين عاديتم منهم مودة والله قدير والله غفور رحيم”

Ertinya: “Mudah-mudahan Allah menjadikan di antara kamu dengan orang-orang telah kamu musuhi dahulunya dikalangan mereka itu, kasih sayang dan Allah Maha Berkuasa dan Allah Maha Pengampun Maha Penyayang”.

Banyak perkara yang ditakuti dan dikhuatiri, hakikat sebenarnya tidak demikian. Oleh itu hiduplah dengan perasaan positif. Ungkapan ini tidak ada faedahnya kecuali setelah kita berusaha merealisasikan  pada diri kita, di rumah kita, ditempat kerja kita dan dalam kehidupan kita. .. semoga kita dapat menikmati kehidupan yang lebih ceria.. kehidupan gembira sehinggakita mampu mengecapi ketenangan abadi di dalam syurga an-Na’im.

Ya Allah kurniakan kami di dunia kebaikan dan di akhirat jauhkan kami dari azab neraka! Amin.

 

.

Next Post:
Previous Post:
This article was written by

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *