Berangkat Meninggalkan Maksiat

Berangkat Meninggalkan Maksiat

Maksiat hakikatnya dapat menggelapkan hati sehingga hilang sensitiviti terhadap perintah dan larangan Allah. Hati yang hanyut dalam nikmatnya maksiat akan perlu bekerja keras untuk merasai akan nikmatnya Ibadah.

Allah tidak menjadikan bagi seseorang itu dua hati. Boleh jadi seseorang itu zahirnya rajin beribadah namun hatinya sentiasa diselubungi akan rindu dan cinta akan maksiat. Kerana maksiat dan hawa nafsu telah menjadi Ilah baginya, sumber ketenangan dan kebahagiaan.

Baik maksiat yang terang mahupun yang tersembunyi, keduanya harus ditinggalkan kerana di sisi Allah tiada apa yang tidak diketahui. Di sinilah menguji apakah hidup kita ikhlas dipersembahkan untuk Allah atau untuk dilihat baik pada zahirnya oleh manusia.

Semakin lama kita telah mengerjakan sesebuah maksiat, semakin besarlah usaha yang perlu digembleng untuk menyucikan hati daripadanya dan menjadikan ia kembali bersinar dan bertumpu pada Ibadah kepada Allah.

Ia bukanlah sebuah perjuangan sehari dua, namun ia akan memakan masa seluruh hidup kita untuk kita menjauhi maksiat dan memelihara hati kita dengan pengabdian kepada Allah semata-mata.

Bagaimana kita hendak berangkat meninggalkan maksiat dan membawa hati kita terbang menuju Allah?

Banyak usaha yang boleh kita laksanakan untuk mencapainya namun segalanya bermula dengan kesedaran dan penyesalan, merasa benar-benar bersalah kepada Allah atas segala maksiat yang telah kita lakukan.

Hanya kita yang tahu segala maksiat yang kita lakukan terutama yang tersembunyi dan yang tersimpan di dalam hati, dan hanya Allah sahaja yang dapat mengampunkan segala dosa-dosa maksiat kita.

Kadang-kadang dan selalunya maksiat yang kita lakukan tidak nampak kesan buruknya dalam kadar yang segera dan terang, namun ia akan membunuh hati kita dalam tempoh yang panjang. Sehingga akhirnya kita terjerumus ke dalam kancah kehancuran tanpa kita sedari.

Apa yang lebih kita takuti adalah Allah simpan segala hukuman itu untuk ditimpakan kepada kita di hari akhirat.

Sama-sama lah kita banyak kan bermuhasabah akan amalan seharian kita, jangan sampai maksiat itu bertapak dalam hati tanpa kita sedari, sesali dan berusaha untuk meninggalkannya.

Sama-sama juga kita berdoa agar Allah menetapkan hati kita dalam agama-Nya dan dalam mengerjakan segala ketaatan.

Banyak kan lah kita beramal soleh dan kurangkanlah keburukan-keburukan dan maksiat, sesungguhnya amal kebaikan itu menghapuskan segala keburukan.

Mudah-mudahan kita teguh dalam hidup ini dalam meninggalkan segala kemaksiatan, dan tidak meninggalkan di belakang kita generasi yang meninggalkan solat dan mengikuti hawa nafsu.

Next Post:
Previous Post:
This article was written by

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *